Rabu, 17 April 2019

ZAMAN LOGAM

Assalamualaikum WBT dan salam sejahtera. Bertemu kita dalam blog kali ini,yang pasti membuat anda semua tidak sabar-sabar menunggu perkongsian saya yang seterusnya. Kali ini saya ingin mengajak kalian untuk mengenali dengan lebih lanjut berkaitan zaman Logam.

ZAMAN PRASEJARAH DI MALAYSIA
  1. ZAMAN PALEOLITIK
  2. ZAMAN HAOBINH/ ZAMAN MESOLITIK
  3. ZAMAN NEOLITIK
  4. ZAMAN LOGAM
Sebelum itu elok kiranya kita semua mengenali serba sedikit apa yang dimaksudkan dengan zaman logam serta ciri-ciri yang berkaitan dengan zaman tersebut.

 DEFINISI ZAMAN LOGAM
zaman logam bermaksud suatu tempoh kebudayaan dalam masyarakat dimana ketika itu muncul objek-objek logam. Objek logam telah  menggantikan alat-alat batu yang sebelum ini telah muncul pada zaman paleolitik dan zaman Neolitik. dikatakan fungsi alatan batu dalam kehidupan harian mereka mula beransur-ansur berubah kepada alatan yang berbentuk logam. 

zaman paleolitik : menggunakan kapak batu dan pisau batu
zaman logam : menggunakan kapak besi atau gangsa dan mata tajam.

pada ketika itu, penemuan bahan baharu (logam) sebagai bahan asas untuk dijadikan peralatan. sebenarnya, sifat asas logam adalah sukar untuk dibentuk kerana tidak boleh dipukul atau dipecah-pecahkan seperti batu pada zaman Paleoltik. malah, untuk menghasilkan alatan logam memerlukan kepanasan pada suhu yang tertentu. Menurut Profesor Zurainah Majid, pengalaman yang panjang dalama penghasilan tembikar bagi zaman  Neolitik yang memerlukan pemerhatian saintifik pada sifat dan ciri bahan serta kebolehan mereka menghasilkan api dengan suhu yang tinggi menjadi asas kepada peringkat teknologi dan seterusnya membawa kepada penghasilan logam. suhu pembakaran ketika zaman logam telah dinaikkan kepada (melebihi 1200 darjah celcius).
di Malaysia, zaman logam bermula kira-kira 4,000 tahun dahulu dan saat itu manusia telah mencipta alat gangsa dan besi. malah, zaman logam juga telah dibahagikan kepada 2 tahap :
  1. zaman Gangsa ( muncul sekitar 3,500 hingga 4,000 tahun dahulu)
zaman gangsa adalah berasaskan penemuan beberapa alat yang diperbuat daripada gangsa seperti gendang, loceng dan mangkuk gangsa. komposisi utama yang terkandung dalam artifak gangsa adalah terdiri daripada Kuprum (Cu), timah (Sn), Plumbum (Pb). zaman gangsa pula terbahagi lagi kepada dua iaitu zaman gangsa awal dan zaman gangsa akhir:
zaman gangsa awal ( objek yang dihasilkan bersaiz kecil spt mata beliung, belati, mata lembing dan kapak gangsa).

objek zaman gangsa awal

zaman gangsa akhir (objek yang dihasilkan bersaiz besar spt gendang dan loceng gangsa)

objek zaman gangsa akhir

2.  zaman besi ( sekitar 2,000 tahun hingga 2,500 tahun dahulu)
zaman besi merujuk kepada kewujudan objek-objek yang diperbuat daripada besi seperti beliung dan cangkul. Proses melebur besi memerlukan suhu yang sangat tinggi (lebih kurang 3500 darjah celcius) berbanding takat suhu bagi melebur gangsa. Dapat dilihat bahawa kehidupan masyarakat di zaman besi lebih maju sedikit berbanding zaman gangsa kerana kemahiran mereka dalam mengolah atau mengadun beberapa sebatian logam sehingga menjadikannya lebih kukuh dan kuat.

objek zaman besi

walaupun arah perkembangan zaman logam itu terbahagi kepada 2 tahap, namun penggunaan gangsa dan besi berjalan dengan serentak. Tambahan pula, tidak dijumpai satu pemisahan yang jelas antara zaman gangsa dan zaman besi saat itu. Ini kerana, kedua-duanya sering kali muncul pada zaman yang sama di tempat yang sama. Sebagai contoh, sesetengah tempat di Thailand telah dimulai dengan kemunculan zaman gangsa secara sendirinya tanpa kehadiran objek besi sejak 3,000 sebelum Masihi.

CIRI-CIRI ZAMAN LOGAM 
1. PENEMPATAN DAN MASYARAKAT
  • mereka hidup menetap di sesuatu tempat dan tidak berpindah-randah
  • tinggal berhampiran dengan sungai, atas pokok, kawasan tanah tinggi dan masih ada segelintir yang tinggal di dalam gua.
  • bahan-bahan rumah diperbuat daripada batu, tanah liat dan kayu.
  • mempunyai adat resam yang tersendiri.
2. KEGIATAN UTAMA
  • bercucuk tanam
  • menangkap ikan dan menternak  binatang
  • berburu
  • menjalankan aktiviti perdagangan secara sistem barter (pertukaran barangan)
3. PERALATAN
  • mencipta alatan logam yang diperbua daripada gangsa dan besi.
4. KEPERCAYAAN
  • mempunyai kepercayaan dan pegangan hidup
  • mengamalkan upacara pengebumian menggunakan kepingan batu.


LOKASI ZAMAN LOGAM DI MALAYSIA
  1. SUNGAI TEMBELING, PAHANG
  2. GUA HARIMAU, PERAK

terletak di kompleks batu kapur, Bukit Gua Harimau, Lenggong, Perak. Eskavasi dijalankan pada tahun 1987, 1988 dan 1999 telah berjaya menemukan tapak pengkebumian manusia yang berusia 2,000 -5,000 tahun dahulu. 11 rangka telah ditemui dengan barangan kiriman yang terdiri daripada bekas tembikar, alat batu, kapak gangsa, perhiasan badan dan juga sisa makanan.

  Gua harimau penting kerana telah mendedahkan bukti pengkebumian zaman Neolitik-logam dengan acuan dan kapak gangsanya yang terawal sekitar 4,000 tahun dahulu. Hal ini membuktikan bahawa ketika itu wujudnya proses penghasilan gangsa di kawasan tersebut.

  1. CHANGKAT MENTERI, PERAK
  2. LEMBAH BERNAM, SELANGOR
  3. SUNGAI MUAR, JOHOR
  4. SUNGAI LANGAT, SELANGOR
  5. KAMPUNG GAUNG DI TERENGGANU
Selangor dikatakan menjadi petempatan -petempatan awal di zaman logam iaitu sekitar 2500 tahun dahulu. Dibuktikan melalui jumpaan-jumpaan artifak logam yang ditemui secara tidak sengaja ataupun secara eskavasi. Malah, petempatan awal zaman logam ini kebanyakannya terletak berhampiran dengan kawasan sungai. Antara sungai-sungai yang digunakan sebagai tempat masyarakat zaman logam adalah Sungai Bernam, Sungai langat, Sungai Sedu, Sungai Kelang dan Sungai Semenyih.

   kekayaan sungai dan lembah-lembah di Selangor dengan sumber logammya membolehkan masyarakat tempatan menjalinkan hubungan perdagangan dengan negara luar terutamanya dengan masyarakat di utara semenanjung dan juga pedagang Vietnam. Hal ini kerana, logam timah diperlukan untuk menghasilkan barangan gangsa. Bagi gendang dan loceng gangsa pula, dianggap sebagai simbol status kepada ketua masyarakat tempatan yang menyimpannya. antara tapak-tapak di mana artifak gangsa ditemui adalah di  Kampung Sungai Lang, Jenderam Hilir, Sidu dan Lembah Sungai Klang. Tapak -tapak ini menjadi bukti bahawa perkemnbangan masyarakat setempat daripada sosiobudaya zaman Neolitik kepada zaman logam.

   Walaupun kebanyakan artifak yang ditemui dalam rupa bentuk yang tidak sempurna, tetapi ianya penting dalam kajian arkeologi zaman prasejarah khususnya perkembangan kebudayaan Dongson. Malah, kajian terhadap gendang tersebut secara tidak langsung membantu dalam menyelesaikan persoalan berkenaan zaman logam di Malaysia.

Berdasarkan Ketua pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Ibrahim Ismail, gendang Dongsoan adalah sejenis artifak yang bentuknya seperti gendang dan keseluruhan artifak ini diperbuat daripada gangsa yang terdiri daripada beberapa jenis komponen logam iaitu tembaga, timah, plumbum, besi dan juga zink.

lokasi penemuan gendang dongson

gendang Dongson dipercayai berasal daripada sebuah perkampungan yang bernama Dongson yang terletak dalam daerah Thanh Hoa, Utara Vietnam. kawasan yang dijumpai artifak ini:


  1. Malaysia
Daripada sembilan (9) buah gendang gangsa yang ditemui di negara ini, sebanyak tiga (3) buah daripadanya telah ditemui di Terengganu. Dua buah gendang gangsa tersebut ditemui di Kampung Batu Buruk, manakala sebuah lagi telah ditemui di Kampung Gaung, Besut, Terengganu. Kebanyakan objek ini ditemui secara tidak sengaja oleh orang-orang kampung menyebabkan data-data yang penting khususnya berkaitan dengan penemuan tersebut tidak dapat diperoleh. Kajian mendapati penemuan gendang gangsa di Terengganu mempunyai signifikannya yang tersendiri. Ini kerana berdasarkan lakaran motif dan pola hiasan yang dipaparkan pada gendang gangsa berkenaan didapati ia tidak dihasilkan oleh masyarakat tempatan sebaliknya ia diimport dari luar khususnya dari Vietnam. Penyebaran gendang gangsa di Terengganu dipercayai adalah melalui aktiviti perdagangan yang berkembang di alam Melayu dengan dunia luar. Keperluan kepada bahan logam timah (Sn) juga menjadi faktor mengapa pedagang dari Vietnam dan mungkin China datang ke Semenanjung Tanah Melayu untuk menjalankan aktiviti perdagangan. 
  1. Thailand
  2. Burma (Myanmar)
  3. Laos
  4. China.
  5. Gugusan Kepulauan Indonesia ( Selayar, Sangeang, Flores, Alor, Roti, Pulau Serua, Pulau Gorom, Pulau Buru, Irian Jaya, Leti, Luang dan  Pulau Kai.)


gendang Dongson yang ditemui ini mempunyai corak ukiran yang mempunyai beberapa jenis motif, antaranya:

  • motif bintang/matahari
  • motif segitiga
  • anak tangga
  • mata gergaji
  • bulatan bertitik
  • bulatan bertangen
  • atap
  • perahu
  • abjad
  • motif binatang spt burung terbang,cicak dan motif katak.
  • motif manusia serta bird-man
Contoh untuk gendang Dongson:



CIRI-CIRI KEBUDAYAAN DONGSON:
  1. KEMAHIRAN MEMBUAT PERALATAN UNTUK AKTIVITI PERTANIAN
  2. KEMAHIRAN MEMBUAT ALATAN LOGAM
  3. KEMAHIRAN MEMBUAT ALAT PERHIASA DIRI
  4. KEMAHIRAN MEMBUAT SENJATA
  5. AMALAN PENGKEBUMIAN
  6. KEMAHIRAN MEMBINA RUMAH
  7. KEMAHIRAN MEMBUAT PERAHU

PENTARIKHAN ZAMAN LOGAM

2 Jenis kaedah pentarikhan yang digunakan dalam menentukan usia tapak atau artifak iaitu pentarikhan relatif dan pentarikhan kronometrik
a) Pentarikhan relatif 
  • pentarikhan relatif adalah berdasarkan perbandingan. sesuatu tapak atau artifak itu dibandingkan dengan menyatakan sama ada lebih tua atau lebih muda. Namun, pentarikhan ini tidak memberikan tarikh yang mutlak. terdapat beberapa jenis kaedah pentarikhan relatif iaitu stratigrafi, sistem 3 zaman dan sebagainya.
1)  pentarikhan sistem 3 zaman

Kaedah ini telah diperkenalkan oleh seorang saudagar yang kaya dari Denmark yang bernama Christian Jurgensen Thomsen pada 1836. Beliau yang bertugas di Muzium Kebangsaan Denmark sangat meminati barang antik. Beliau telah menyusun artifak yang dipamerkan di muzium mengikut 3 zaman iaitu Zaman Batu, Zaman Gangsa dan Zaman Besi. Kesukaran sistem ini adalah terdapat sesetengah tempat yang melangkau peringkat zaman tertentu atau tidak melalui zaman tersebut. Sebagai contoh di sub-Africa-Sahara bermula dari Zaman Batu terus ke Zaman Besi tanpa melalui Zaman Gangsa. Penggunaan sistem ini dalam mengukur kemajuan sesuatu sosial juga selalunya tidak begitu tepat. Sebagai contoh masyarakat kuno Maya mempunyai kemajuan dalam bidang matematik dan astronomi tetapi masih menggunakan teknologi alat batu. Begitu juga Kebudayaan Pra-Inca yang terlibat dengan penghasilan logam telah bermula 1500 BC. Di Jepun pula, tembikar telah wujud 10,000 BC tetapi gangsa dan penanaman padi hanya wujud sekitar 500 BC. 
b) PENTARIKHAN KRONOMETRIK 
  • Pentarikhan jenis ini merupakan pentarikhan mutlak, selalunya menggunakan prinsip radiasi. Antara pentarikahn jenis ini adalah pentarikhan radiocarbon, kalendar, termoluminescence (TL) dan sebagainya. 
1) Radiokarbon

Pentarikhan radiokarbon ini merupakan salah satu jenis pentarikhan yang banyak digunakan dan berfaedah dalam  bidang arkeologi.  Kaedah ini telah ditemui secara tidak sengaja oleh seorang ahli kimia iaitu Willard Libby semasa Perang Dunia II. Kaedah ini digunakan bagi menganggarkan usia bahan artifak atau tinggalan purba dengan mengukur kuantiti karbon yang masih ada dalam sesuatu bahan tersebut.
Dalam kajian  beliau bersama beberapa orang saintis terhadap radiasi kosmik, salah satu partikel sub-atom secara berterusan menghentam bumi dan menghasilkan neutron berkuasa tinggi. Neutron berkuasa tinggi ini bertindak balas dengan atom nitrogen di atmosfera untuk menghasilkan atom karbon- 14 (14C). Atom 14 ini tidak stabil kerana mengandungi 8 neutron dan 6 proton (atom 12C yang biasa adalah stabil kerana mengandungi 6 neutron dan 6 proton).  Atom 14C yang tidak stabil ini menyusut dengan kadar yang sekata dan mengambil masa selama 5730 tahun untuk mencapai separuh hayatnya.  

2) TERMOLUMINESEN 


Kaedah ini merupakan pentarikhan berdasarkan electron yang terperangkap. Termoluminescence (TL) atau pendar kilau mempunyai dua kelebihan berbanding pentarikhan radiocarbon iaitu  boleh dilakukan pada sampel yang bukan bahan organik yang pernah terbakar seperti tembikar dan boleh mencapai usia pentarikhan artifak sehingga 50,000 tahun. 
Sebagai contoh adalah tembikar. Bahan asas untuk pembuatanya adalah tanah liat. Secara semulajadi, TL wujud dalam tanah liat. Apabila tanah liat ini telah siap dibentuk ia perlu dibakar untuk mengeraskan tembikar. Semasa proses pembakaran ini semua TL yang terdapat dalam tembikar tersebut dikeluarkan. Setelah itu, apabila berlaku proses penyejukan pada tembikar atau tembikar tersebut tertimbus di tanah TL akan diserap semula semulajadi ke dalam tembikar dengan pengiraan 0 (sifar) semula (TL sebelum ini telah dikeluarkan semasa proses pembakaran untuk penghasilanya). Apabila ahli arkeologi menjumpai tembikar ini, sekali lagi ia perlu dibakar. Semua TL yang dikeluarkan semasa pembakaran kali kedua ini akan dikumpulkan untuk pengiraan usia artifak. Semakin banyak TL, semakin tua usia artifak tersebut. Sampel digunakan ialah bahan bukan organik yang pernah terbakar seperti tembikar, batu.
 



























Ahad, 31 Mac 2019

PALEOLITIK DI ASIA TENGGARA ( BUKU PREHISTORY of the INDO-MALAYSIAN ARCHIPELAGO, Peter Bellwood)


     Assalamualaikum dan Salam Sejahtera kepada semua. Harap kalian dalam keadaan yang sihat hendaknya dan sentiasa berada dalam lindungan Allah SWT. Pada hari ini saya akan menyambung perkongsian yang pertama hari itu berkaitan Zaman Paleolitik. Sebelum ini saya lebih memfokuskan kepada zaman prasejarah yang berlaku di Malaysia khususnya zaman paleolitik yang dibuktikan melalui jumpaan kerangka Perak Man. Namun, penulisan kali ini bakal membawa anda sekalian kepada skop pengajian arkeologi berkaitan zaman Paleolitik yang lebih meluas meliputi kawasan Asia Tenggara.

    Penyelaras Pengajian Arkeologi iaitu Encik Abdul Aziz mengkehendaki kami untuk membaca dan mentelaah buku yang bertajuk Prehistory of The Indo-Malaysian Archiepelago oleh Peter Bellwood. Oleh itu, melalui pembacaan buku tersebut saya akan menerangkan secara ringkas berkaitan kandungan buku, namun berpandukan soalan yang telah diberikan oleh Encik Aziz. Insha Allah saya akan berusaha dalam menjawab pertanyaan yang diberikan kepada saya dan rakan-rakan sekelas.

Soalan 1: Terangkan secara ringkas berkaitan Formasi Ngandong

Kebudayaan Ngandong merupakan salah satu daripada kebudayaan di Indonesia yang berkembang di daerah Ngandong dekat Ngawi.kebudayaan yang dimaksudkan adalah sebuah kebudayaan yang berbentuk material atau kebendaan seperti alat-alat batu tertentu. Ngandong merupakan sebuah tempat ditemukan bukti-bukti sejarah peradaban manusia seperti alatan dari tulang yang digunakan oleh manusia zaman prasejarah dalam melakukan aktiviti harian.

    Alat-alat daripada tulang yang ditemui berasal daripada tulang-tulanhg binatang yang mempunyai ukuran sederhana dan juga tanduk rusa. Alat-alat ini dijumpai dalam bentuk yang tertentu dan diyakini mempunyai fungsi-fungsi yang tertentu sperti alatan penusuk, belati atau tombak. Masyarakat awal sering berpindah ke kawasan yang lain sekiranya kawasan yang didudukinya tidak mempunyai makanan untuk kelangsungan hidup. Kebanyakan artifak atau alat-alat batu yang tersebar ke Indonesia diantaranya tersebar ke Halmahera, Nusa Tenggara Barat, Kalimantan, Nusa Tenggara Timur, Bali, Sulawesi serta Sumatera.

alat- alat batu hasil daripada kebudayaan Ngandong
a) FLAKE
- alat serpihan berukuran keci yang diperbuat daripada tulang.
- alat-alat yang diperbuat daripada batu yang mempunyai lekatan menarik seperti Chalcedon.
-kapak genggam
-alat-alat batu yang diperbuat daripada tanduk rusa yang diruncingkan dahulu, tujuan untuk perlindungan, berburu dan mengolah makanan.
-alatan yang diperbuat daripada tulang yang bersaiz besar ( belati, alat penusuk, mata tombak, hujung tombak dengan dua mata tombok, alat mengupas daging atau ubi).


      Alatan ini sebelum ini ditemukan didekat fosil Homo Wajakensis didaerah Ngandong.
Homo Soloensis ditemukan di daerah Ndirejo, Sambung Macan, Sragen dan Jawa Tengah.
Dapat disimpulkan berdasarkan penyelidikan daripada ahli arkeologi mengatakan bahawa Kebudayaan Ngandong ini berasal daripada dua spesis manusia purba iaitu Homo Soloensis dan Homo Wajakensis.

Soalan 2: Terangkan secara ringkas Formasi Solo

    Manusia Solo telah dijumpai di sekitar Jawa oleh Gustav Heinrich Ralph von Koenigswald antara tahun 1931 dan 1933. Manusia Solo ataupun Homo erectus soloensisi merupakan subspesis daripada Homo erectus. Jumpaan manusia Solo dikatakan bertapak di sepanjang Sungai Solo, Pulau Jawa yang bertarikh antara 550,000 - 143,000 tahun yang lalu. 


Soalan 3:Huxley Line




   Garisan Huxley terletak diantara kawasan Bali dan Lombok, Kawasan Borneo dan  Sulawesi, Borneo dan Kepulauan Sulu, turut termasuk kawasan Calamianes dan Palawan dan seterusnya berakhirnya di kawasan Pasifik antara Luzon dan Taiwan. Dalam pada itu juga, di kawasan pinggiran pentas Sunda antara Borneo dan Sulawesi sebahagiannya ditandai dengan Great Sunda Reef yang luar biasa. Malah, secara ringkasnya, Huxley's Line dianggap sebagai penanda sempadan biogeografi antara kawasan Filipina dan Wallacea dengan kawasan Sunda yang dipisahkan  oleh lautan.

Soalan 4: Terangkan secara ringkas apa itu Pentas Sunda dan Pentas Sahul

1.  PENTAS SUNDA
   Sundaland ataupun Pentas Sunda merupakan kawasan yang terdiri daripada Semenanjung Malaysia, Jawa, Borneo, Palawan dan juga merangkumi kawasan yang kecil seperti Riau dan Lingga. Di pinggir Timur Pentas Sunda telah ditandakan oleh garisan Huxley ataupun turut dipanggil sebagai Huxley's Line sebagai biogeografinya. Sebenarnya Huxley's Line ini penting agar tidak berlakunya kekeliruan dengan garisan yang lebih dikenali seperti Wallace Line, yang berperanan di bahagian selatan Filipina. 

     Sebagai maklumat tambahan, Garisan Wallace adalah sempadan yang memisahkan ekozon Asia dan Wallacea , yang merupakan zon peralihan  antara Asia dan Australia. Di Barat garisan ini telah dijumpai organisma berkaitan dengan spesis Asia manakala di Timur garis hadirnya spesis campuran asal Asia dan Australian. Garis ini melintas melalui Indonesia, antara Borneo dan Sulawesi dan melalui Selat Lombok antara Bali dan Lombok. Yang paling menarik adalah garisan Wallace diambil bersempena nama Alfred Russel Wallace yang telah mendapati dengan jelas garisan ini.

Gambar 1 menunjukkan Garisan Wallace

   Pentas Sunda kini meliputi kawasan tepi laut yang cetek dan mempunyai luas permukaan sebanyak 2.2 million kilometer persegi), malah kebanyakannya mula terdedah dengan tanah yang basah oleh paras air yang rendah dalam tempoh semasa Pleitosen dan terutamanya sekali ketika kemuncak glasier yang terakhir (pencairan ais) kira-kira 20,000 tahun lalu.

2.  PENTAS SAHUL
   Merupakan sebahagian daripada Pentas Benua Sahul iaitu merangkumi Pentas Benua Australia dan New-Guinea. Pentas Sahul terletak berhampiran dengan Pantai Australia, malah dikatakan bermula daripada Barat Laut Australia melalui bawah lautan Timor sehinggalah kearah Pulau Timor, dan berakhir dimana dasar laut mula menurun ke dalam Palung Timor. Dalam pada itu juga, sebahagian pentas Sahul dikenali sebagai Pentas Arafura, iaitu yang membentang dari pantai Utara Australia dibawah Laut Arafura hingga ke Pulau New Guinea, kepulauan Aru wujud diatas pentas Arafura ini.


Gambar 2 menunjukkan Pentas Sunda dan Pentas Sahul

Soalan 5: Jenis-jenis manusia yang dijumpai di Asia Tenggara

1)    Mengantropus Paleojavanicus (manusia raksasa dari Java)

-ditemui oleh seorang arkeologi dari negera Belanda yang bernama Van Koenigsward.
-menjumpai fosil ini di daerah Sangiran pada tahun 1936
-dianggarkan manusia ini hidup antara 1 juta-2 juta tahun yang lalu.
ciri-ciri:
a) memiliki tulang pipi yang tebal
b) memiliki rahang yang kuat
c) tidak memiliki dagu
d) memiliki tonjolan belakang yang tajam

2)   Pitecanthropus Erectus (manusia kera yang berjalan tegak)
-hidup di wilayah Java (1-2 juta tahun)
-seorang doktor dari Belanda bernama Eungene Dubois telah menemukan manusia ini.
ciri-ciri:
a) berjalan tegak, struktur tengkorak adalah mirip dengan kera
b) merupakan kaum pengumpul makanan (Food gathering)

3)  Pilecanthropus Soloensis 
-manusia purba yang berasal daripada Solo- Ngandong
ciri-ciri:
a) mempunyai tonjolon kening yang tebal
b)hidungnya lebar dan pipi yang kuat dan menonjol
c) ketinggian sekitar 165-180cm
d) mempunyai tempat perlekatan otot tengkuk yang besar dan kuat.

4)  Pitecanthropus Mojokertensis
5)  Homo Floresiensis
ciri-ciri : 
a) mempunyai muka yang tebal, hidung lebar dan mulut yang menonjol.
b)bentuk fizikal seperti manusia
c)hidup sekitar 40,000 - 25,000 tahun lalu.

6) Homo Wajakonsis
- dikenal sebagai manusia wajak, manusia purba yang pernah hidup di Indonesia. Fosil ini telah ditemui oleh Van Riestcholen pada tahun 1889 di sebuah cerek di bahagaian lereng pergunungan karst di Barat Laut dekat Tulanggagung, Jawa Timur.
ciri-ciri:
a) untuk fosil perempuan; memiliki muka yang mendatar & lebar, akar hidung besar dan bahagian mulut menonjol sikit.
b) dahinya agak miring & matanya terdapat busur kuning yang agak nyata.
c) mempunyai volume otak sebanyak 1630 cc.
d) bagi fosil lelaki menunjukkan rahang bawah serta gigi yang memiliki ukuran yang besar.
e) kalau menutup gigi, maka muka atas akan mengenai muka bawah.
f) Wajak sudah termasuk Homo sapiens dan mempunyai ciri-ciri yang berbeza dengan Phitencanthropus.

7) Homo Soloensis
-antara tahun 1931-1934, seorang ahli purbakala G.H.R. Von Koeningsuald dan Ter Haar menemukan fosil-fosil manusia purbadi sebuah Lembah Sg. Bengawan Solo dekat Desa Ngandong di daerah Blora & Sragen, Jawa tengah.
-manusia purba ini berasal daripada lembah Benggawan Solo dan dinamakan homo solensis/ manusia purba daripada Solo.
Hasil budaya yang ditemukan dari homo soloensis

  1. kapak gengam/kapak perimbas
  2. alat serpih
  3. peralatan yang terbuat daripada tulang

8) Pitecanthropus Robutus
ciri-ciri :
a) mempunyai rahang yang besar, selepas dibuat penelitian sebenarnya kegunaan rahang yang besar itu digunakan untuk mengunyah tumbuhan agar menjadi lebih mudah dan cepat.

9) Pitecanthropus Dubus
10) Homosapiens
ciri-ciri:
a) Berasal daripada zaman Holosen.
b) mempunyai bentuk tubuh yang menyerupai bentuk badan manusia
c) ketinggian : 130-210 cm
d) otot tengkuk mengalami penyusutan
e) alat kunyah dan gigi mengalami penyusutan
f) muka tidak menonjol ke hadapan
g) berdiri dan berjalan tegak
j) berdagu dan tulang rahang yang biasa dan tidak kuat.

SOALAN 6 : ALAT-ALAT BATU YANG DIJUMPAI DARI NEGARA-NEGARA ASIA TENGGARA, NAMAKAN:


steep-edges tools

Kapak perimbas


Alat repeh berperimping


   Setakat itu sahaja perkongsian saya pada hari ini. Saya berharap ilmu berkaitan Paleolitik yang berlaku di Asia Tenggara dapat membantu dalam meingkatkan ilmu pengetahuan kita. Oleh itu, segala salah dan silap mohon dimaafkan dan Insha Allah, jika ada kesempatan lagi saya akan menyambung perkongsian yang seterusnya.

Sekian dan terima kasih.



















































Sabtu, 23 Mac 2019

Haobinhin

    Assalamualaikum WBT dan salam sejahtera kawan-kawan sekalian. Apa khabar semua ? saya harap kamu semua dalam keadaan yang sihat hendaknya. InshaAllah, pada hari ini saya akan menyambung penulisan yang seterusnya berkaitan dengan pengajian arkeologi. Harap anda semua sudi untuk membaca perkongsian saya kali ini...

Seperti yang kita sedia maklum, zaman prasejarah telah berlaku sekitar 200,000 hingga 300,000 tahun dahulu. Zaman ini boleh dikategorikan kepada 4 zaman iaitu :

Berdasarkan gambar rajah di atas, zaman prasejarah telah dimulakan oleh zaman Paleolitik diikuti Mesolitik, Neolitik dan akhir sekali zaman Logam. Namun, pada hari ini saya akan menerangkan kepada rakan-rakan sekalian berkaitan dengan zaman Mesolitik. Sebenarnya, mesolitik ini juga turut dikenali sebagai zaman Epi-paleolitik atau Hoabinh. Mesti anda semua tertanya-tanya bukan, apa itu Epi-paleolitik/ hoabinh???.... jangan risau, InshaAllah saya akan memberi sedikit penerangan berkaitan dengan zaman tersebut.

HOABINHIAN, istilah ini telah diperkenalkan oleh seorang arkeologi Perancis yang mengambil nama Hoa binh yang merupakan sebuah kawasan di Hanoi, Vietnam.

                                     Gambar 1 menunjukkan kedudukan peta negara Vietnam

   Menurut arkeologi perancis tersebut, pada sekitar tahun 1920-an, beliau banyak menjalankan kajian arkeologi di gua-gua batu kapur disekitar kawasan tersebut. Melalui eskavasi itu, beliau telah menjumpai banyak alat pebel yang direpeh pada sebelah permukaan sahaja manakala di bahagian dalam lapisan ini tiada tembikar. Melalui kongres Ahli Arkeologi Timur Jauh yang telah berlangsung pada tahun 1932, telah menjadikan Hoabinh diterima pakai.  Hoabinh merupakan satu kebudayaan yang berlangsung pada sekitar 12,000 -5,000 tahun yang lalu. Hal in telah memperlihatkan kepada kita bahawa budaya hoabinh menjadi pengganti kepada budaya mesolitik yang dikatakan tidak ditemui sebarang bukti arkeologi dirantau Asia Tenggara.

   Selain itu, masyarakat Hoabinh mula mendiami gua-gua disebabkan telah berlakunya pencairan air batu pada penghujung Pleitosen iaitu sekitar 10,000 tahun dan ke atas, serta zaman awal bagi Holosen. 

                        Gambar 2  menunjukkan gambaran proses interglazier (pencairan air batu)

   Dengan berlakunya proses ini, menyebabkan masyarakat pada ketika itu mula berhijrah ke dataran seperti kawasan gua yang saya katakan sebelum ini. Pemilihan dataran dianggap selamat pada ketika itu kerana kawasan ini jauh daripada laut dan lebih terlindung daripada pelbagai ancaman. Oleh itu, masyarakat mula hidup secara berpindah randah dan tidak lagi hidup secara menetap,malah apabila sampai di sesuatu kawasan mereka mula mengumpul sumber-sumber ssemulajadi seperti tumbuhan dan kerangan. Disamping itu juga, masyarakat hoabinh mula menjalankan aktiviti memburu binatang untuk bekalan makanan. 

Ciri-ciri yang terdapat dalam kebudayaan Hoabinh adalah seperti berikut :
  1. menjalankan aktiviti penyerpihan batu - batu kerakal sungai yang mempunyai saiz sederhana diserpih di satu permukaan sahaja, ataupun kedua-dua permukaan.
  2. alat batunya berbentuk lonjong.
  3. teknologi penghasilan alatan batu lebih halus berbanding dengan alatan batu zaman Paleolitik.
  4. mengamalkan upacara pengebumian yang lebih teratur

  5. tulang haiwan juga dijadikan alatan untuk berburu
Di Malaysia juga, terdapat beberapa jumpaan-jumpaan rangka manusia zaman epi-paleolitik (Hoabinh) yang ditanam secara melutut. 

JUMPAAN RANGKA MANUSIA HOABIN DI: 
  • GUA CHA, KELANTAN
  • GUNUNG RUNTUH
  • GUA BAIK (GOL BAIK)
  • GUA CHEROH DAN GUA KERBAU (PERAK)
  • GUA BEWAH, TERENGGANU
  • GUAR KEPAH, SEBERANG PERAI
  • GUA NIAH, SARAWAK
Guar Kepah, Seberang Prai
  1. guar kepah atau nama lainnya adalah "Goa Cuppa"/ Guah Gappah (1863) ialah sebuah gua batu kapur asfalt terletak di kepala Batas, Seberang Perai, Pulau Pinang.
  2. kepah - merupakan sejenis siput yang boleh dimakan yang berasal dari luat.
  3. kerja-kerja eskavasi dijalankan oleh Van Stein Callenfels pada 1934-1936 telah menemui  bukti-bukti kehidupan orang Asli, suku semang seperti tulang manusia, sisa makanan, serpihan seramik, alatan batu dan sebagainya.
  4. guar kepah menjadi petempatan awal manusia terawal. sejarah manusia purba ini dikaitkan dengan manusia Hoabinhian.
  5. rangka manusia yang ditemui oleh pengkaji awal di Guar Kepah menggolongkan dalam kumpulan Australomelanesoid, iaitu dikatakan mirip rupa masyarakat Asli Australia, Melanesia dan juga penduduk New Guinea sekarang.




   Seterusnya, Gua Niah di Sarawak juga turut menjadi lokasi petempatan awal bagi masyarakat zaman Epi-paleolitik, merupakan sebuah gua yang terbesar di Malaysia dan penuh dengan sejarah-sejarah lampau. Gua Niah terletak kira-kira 90 km ataupun  satu jam setengah dari bandar Miri, Sarawak. malah, yang paling menakjubkan apabila gua ini merupakan antara gua batu kapur yang terbesar di daerah ini.

leh itu, lebih baik eloknya kita mengenali serba sedikit latar belakang Gua Niah.


  • telah dijumpai fosil manusia yang berusia 40,000 tahun dahulu
  • jumpaan perkasasan manusia purba menjadikan Gua Niah sebagai tapak arkeologi terpenting di dunia.
  • tahun 1958, satu eskavasi yang telah diketuai oleh Tom Harrison dan isterinya, Barbara Harrison.
  • beliau dikatakan berminat untuk menjalankan arkeologi walaupun tidak mempunyai asas dalam proses eskavasi.
  • kemampuannya membongkar satu tengkorak menusia disebelah barat pintu utama Gua Niah  ( dianggarkan berusia 40,000 tahun) .
  • tengkorak yang dijumpai tersebut merupakan manusia moden (Homo Sapiens) terawal di Asia tenggara.
  • tengkorak ditemui di aras dimana perkasasan batu telah dijumpai sebelumnya bersama arang.
  • arang tersebut digunakan untuk memberikan pentarikhan radiokarbon sekitar 40,000 tahun dahulu.
  • hal ini menjadi bukti terawal kependudukan manusia awal di Borneo.
   Sebelum saya menghabiskan penulisan ringkas pada kali ini, molek jika saya dapat menyimpulkan serba sedikit berkaitan dengan kebudayaan Hoabin.Sebenarnya, kebudayaan Hoabinhhanya berlaku di rantau ini, kerana berdasarkan kajian arkeologi yang dijalankan menunjukkan  bahawa zaman Mesolitik tidak berlaku disekitar kawasan ini, namun zaman yang dipanggil sebagai Epi-paleolitik / hoabinh yang telah berlangsung sekitar 12,000 tahun dahulu dikatakan mempunyai persamaan dengan Mesolitik. Malah, kita juga dapat melihat bahawa terdapat beberapa ciri-ciri yang menunjukkan perbezaan antara Hoabinh itu sendiri dengan zaman Paleolitik.

  Setakat ini sahaja perkongsian berkaitan dengan kebudayaah Hoabinh, ilmu ini saya perolehi setelah menghadiri kuliah Encik Aziz bagi minggu ke-5 disamping turut membuat rujukan di laman sosial Google.com. Saya memohon maaf  jika sepanjang penulisan saya kali ini ada yang menyinggung perasaan kalian kerana segala kebaikan itu datangnya daripada Allah SWT dan kekurangan itu datangnya daripada diri saya sendiri. Sebelum itu, saya berharap anda semua seronok setelah membaca catatan saya dan semoga ilmu ini dapat sampai dengan baik kepada kamu semua. Amin Ya Rabbal Alamin.








Ahad, 17 Mac 2019

Assalamualaikum WBT dan salam sejahtera kawan-kawan sekalian. Kali ini saya akan sambung penulisan sebelum ini berkaitan arkeologi berdasarkan soalan yang dikemukakan oleh penyelaras kami iaitu :
Soalan: Dengan memilih salah satu tapak arkeologi di Malaysia, deskripsikan apakah yang memberikan nilai keilmuan yang boleh diperolehi dari pembacaan dari tapak tersebut seperti jumpaan artifak, lapisan budaya manusia, manusia pendukung budaya dan signifikan tapak berkenaan kepada dunia
Jawapan : Tapak Arkeologi Bukit Tengkorak
Berdasarkan soalan yang telah diberikan di atas, saya telah memilih tapak arkeologi yang terletak di Sabah iaitu Bukit Tengkorak.  Keinginan untuk memilih tapak arkeologi ini didorong oleh minat dalam diri untuk mengkaji dengan lebih mendalam berkaitan tinggalan-tingalan zaman Prasejarah di Malaysia, terutama sekali kawasan Borneo. Tambahan pula, saya merupakan anak jati Sabah, justeru itu saya patut lebih mengenali tapak-tapak warisan yang terdapat di negeri ini.
Bukit Tengkorak terletak di Semporna, Sabah. Ahli arkeologi telah menjumpai beberapa jenis tengkorak di bukit tersebut sehinggakan bukit tersebut dinamakan sebagai BUKIT TENGKORAK.
Bukit Tengkorak dinyatakan sebagai tapak pembuatan tembikar terbesar di Asia Tenggara pada zaman Neolitik iaitu sekitar 3000 tahun dahulu. Kajian cari gali telah dijalankan di Bukit Tengkorak sejak tahun 1994 lagi oleh beberapa orang penyelidik dari Pusat bagi Kajian Arkeologi USM bersama dengan kerjasama Jabatan Muzium Sabah.
Hasil daripada kajian yang dijalankan telah menjumpai beribu kepingan tembikar prasejarah, malah kajian menunjukkan bahawa kaedah penghasilan tembikar pada 3000 tahun dahulu masih diamalkan di Semporna hingga ke hari ini. Bukit Tengkorak menjadi tapak pelindung gua batuan volkanik dan sebahagian daripada bibir gunung berapi yang mempunyai diameter sekitar 2 km persegi. Malah, bukit ini menjadi salah satu tapak arkeologi yang terpenting di Malaysia dan kawasan Asia Tenggara. Hasil daripada penyelidikan yang dijalankan menunjukkan bahawa Bukit Tengkorak adalah salah satu tapak pembuatan tembikar yang terbesar di rantau ini.
Selain daripada itu, berpuluh ribu serpihan tembikar telah ditemui yang berusia kira-kira 3000 tahun dan tembikar tersebut turut dihiasi dengan pelbagai corak-corak. Sumber tanah liat bagi pembuatan tembikar tersebut juga turut ditemui. Malah, kajian etnoarkeologi memperlihatkan bahawa teknologi pembuatan tembikar pada saat tersebut masih diamalkan sehingga ke hari ini oleh masyarakat Bajau di Semporna.
Tambahan pula, kajian sumber batuan dan artifak obsidian yang ditemui di Bukit Tengkorak memperlihatkan wujudnya rangkaian perdagangan dan pergerakan manusia secara jarak jauh pada sekitar 3000 tahun dahulu. Rangkaian yang terjalin ini dikatakan melalui lautan diantara kepulauan Asia Tenggara dan lautan Pasifik. Oleh itu, kita dapat melihat bahawa tapak pembuatan tembikar di kawasan Bukit Tengkorak ini mepunyai hubungan antara masyarakat tempatan iaitu masyarakat di Semporna dengan pedagang dari sekitar kepulauan sekitarnya sepert bahagian laut Andaman. Hal ini menunjukkan Bukit Tengkorak memberi bukti perdagangan laut zaman Prasejarah dan pergerakan manusia yang terpanjang di dunia iaitu 3000 tahun dahulu.
Kesimpulannya, penemuan serpihan tembikar di Bukit Tengkorak telah menjadi bukti bahawa kawasan Borneo juga telah mengalami zaman Prasejarah pada suatu ketika dahulu. Jumpaan ini bukan sahaja memberi sumbangan yang penting kepada bida arkeologi di Malaysia,namun ianya mampu menjadi tatapan sejarah kepada dunia luar akan aspek perkembangan tamadun itu sendiri.

Selain itu, dalam pengajian arkeologi itu sendiri, terdapat beberapa teori yang banyak digunapakai oleh ahli cari gali@arkeologi dalam membuat kesimpulan berkaitan penyelidikan yang dilakukan. Teori tersebut terdiri daripada;

1) Processual archaeology
Ø Digunakan dalam usaha menghasilkan pembangunan yang lebih tepat. Hal ini kerana, objektif maklumatnya adalah mengkaji kehidupan sosial masyarakat lampau dengan cara mengaplikasikan kaedah-kaedah saintifik dalam penyelidikan. Ini bermaksud, ciri-ciri saintifik itu sangat dititikberatkan dan menjadi sumber keutmaan dalam proses mendapatkan maklumat.
2) Post processual archaeology
Ø Teori ini lebih menekankan aspek kemanusiaan. Semua data-data arkeologi diperolehi melalui tafsiran yang tertumpu kepada manusia dan faktor-faktor sosialnya, dimana tafsiran itu dibuat bagi mendapatkan maklumat tentang masa lalu. Oleh itu, ianya lebih bersifat subjektif dimana pandangan dan perasaan itu dikaitkan dengan masyarakat ataupun society.
3) Marxist archaelogy
Ø Teori ini merujuk kepada kepercayaan yang lebih bersifat menyeluruh ataupun meluas serta tidak berpihak kepada mana-mana pihak. Malah, teori ini sangat bertentangan dengan teori processual archaeology dan post archaelogy, dimana penyelidikan yang dilakukan berasaskan logik akal dan pendapat sendiri.  

Oleh itu, sebelum saya mengundurkan diri, saya ingin memohon kemaafan jika perkongsian yang saya berikan ini telah menyinggung perasaan saudara/i sama ada tersirat mahupun tersurat. Segala kebaikan itu datangnya daripada Allah SWT dan segala kekurangan  itu datangnya daripada diri saya sendiri. Semoga kita bertemu kembali untuk perkongsia ilmu yang seterusnya.





ZAMAN LOGAM

Assalamualaikum WBT dan salam sejahtera. Bertemu kita dalam blog kali ini,yang pasti membuat anda semua tidak sabar-sabar menunggu perkongsi...