Assalamualaikum WBT dan salam sejahtera kawan-kawan sekalian. Kali ini saya akan sambung penulisan sebelum ini berkaitan arkeologi berdasarkan soalan yang dikemukakan oleh penyelaras kami iaitu :
Soalan: Dengan memilih salah satu tapak arkeologi di Malaysia, deskripsikan apakah yang memberikan nilai keilmuan yang boleh diperolehi dari pembacaan dari tapak tersebut seperti jumpaan artifak, lapisan budaya manusia, manusia pendukung budaya dan signifikan tapak berkenaan kepada dunia
Jawapan : Tapak Arkeologi Bukit Tengkorak
Berdasarkan soalan yang telah diberikan di atas, saya telah memilih tapak arkeologi yang terletak di Sabah iaitu Bukit Tengkorak. Keinginan untuk memilih tapak arkeologi ini didorong oleh minat dalam diri untuk mengkaji dengan lebih mendalam berkaitan tinggalan-tingalan zaman Prasejarah di Malaysia, terutama sekali kawasan Borneo. Tambahan pula, saya merupakan anak jati Sabah, justeru itu saya patut lebih mengenali tapak-tapak warisan yang terdapat di negeri ini.
Bukit Tengkorak terletak di Semporna, Sabah. Ahli arkeologi telah menjumpai beberapa jenis tengkorak di bukit tersebut sehinggakan bukit tersebut dinamakan sebagai BUKIT TENGKORAK.
Bukit Tengkorak dinyatakan sebagai tapak pembuatan tembikar terbesar di Asia Tenggara pada zaman Neolitik iaitu sekitar 3000 tahun dahulu. Kajian cari gali telah dijalankan di Bukit Tengkorak sejak tahun 1994 lagi oleh beberapa orang penyelidik dari Pusat bagi Kajian Arkeologi USM bersama dengan kerjasama Jabatan Muzium Sabah.
Hasil daripada kajian yang dijalankan telah menjumpai beribu kepingan tembikar prasejarah, malah kajian menunjukkan bahawa kaedah penghasilan tembikar pada 3000 tahun dahulu masih diamalkan di Semporna hingga ke hari ini. Bukit Tengkorak menjadi tapak pelindung gua batuan volkanik dan sebahagian daripada bibir gunung berapi yang mempunyai diameter sekitar 2 km persegi. Malah, bukit ini menjadi salah satu tapak arkeologi yang terpenting di Malaysia dan kawasan Asia Tenggara. Hasil daripada penyelidikan yang dijalankan menunjukkan bahawa Bukit Tengkorak adalah salah satu tapak pembuatan tembikar yang terbesar di rantau ini.
Selain daripada itu, berpuluh ribu serpihan tembikar telah ditemui yang berusia kira-kira 3000 tahun dan tembikar tersebut turut dihiasi dengan pelbagai corak-corak. Sumber tanah liat bagi pembuatan tembikar tersebut juga turut ditemui. Malah, kajian etnoarkeologi memperlihatkan bahawa teknologi pembuatan tembikar pada saat tersebut masih diamalkan sehingga ke hari ini oleh masyarakat Bajau di Semporna.
Tambahan pula, kajian sumber batuan dan artifak obsidian yang ditemui di Bukit Tengkorak memperlihatkan wujudnya rangkaian perdagangan dan pergerakan manusia secara jarak jauh pada sekitar 3000 tahun dahulu. Rangkaian yang terjalin ini dikatakan melalui lautan diantara kepulauan Asia Tenggara dan lautan Pasifik. Oleh itu, kita dapat melihat bahawa tapak pembuatan tembikar di kawasan Bukit Tengkorak ini mepunyai hubungan antara masyarakat tempatan iaitu masyarakat di Semporna dengan pedagang dari sekitar kepulauan sekitarnya sepert bahagian laut Andaman. Hal ini menunjukkan Bukit Tengkorak memberi bukti perdagangan laut zaman Prasejarah dan pergerakan manusia yang terpanjang di dunia iaitu 3000 tahun dahulu.
Kesimpulannya, penemuan serpihan tembikar di Bukit Tengkorak telah menjadi bukti bahawa kawasan Borneo juga telah mengalami zaman Prasejarah pada suatu ketika dahulu. Jumpaan ini bukan sahaja memberi sumbangan yang penting kepada bida arkeologi di Malaysia,namun ianya mampu menjadi tatapan sejarah kepada dunia luar akan aspek perkembangan tamadun itu sendiri.
Selain itu, dalam pengajian arkeologi itu sendiri, terdapat beberapa teori yang banyak digunapakai oleh ahli cari gali@arkeologi dalam membuat kesimpulan berkaitan penyelidikan yang dilakukan. Teori tersebut terdiri daripada;
1) Processual archaeology
Ø Digunakan dalam usaha menghasilkan pembangunan yang lebih tepat. Hal ini kerana, objektif maklumatnya adalah mengkaji kehidupan sosial masyarakat lampau dengan cara mengaplikasikan kaedah-kaedah saintifik dalam penyelidikan. Ini bermaksud, ciri-ciri saintifik itu sangat dititikberatkan dan menjadi sumber keutmaan dalam proses mendapatkan maklumat.
2) Post processual archaeology
Ø Teori ini lebih menekankan aspek kemanusiaan. Semua data-data arkeologi diperolehi melalui tafsiran yang tertumpu kepada manusia dan faktor-faktor sosialnya, dimana tafsiran itu dibuat bagi mendapatkan maklumat tentang masa lalu. Oleh itu, ianya lebih bersifat subjektif dimana pandangan dan perasaan itu dikaitkan dengan masyarakat ataupun society.
3) Marxist archaelogy
Ø Teori ini merujuk kepada kepercayaan yang lebih bersifat menyeluruh ataupun meluas serta tidak berpihak kepada mana-mana pihak. Malah, teori ini sangat bertentangan dengan teori processual archaeology dan post archaelogy, dimana penyelidikan yang dilakukan berasaskan logik akal dan pendapat sendiri.
Oleh itu, sebelum saya mengundurkan diri, saya ingin memohon kemaafan jika perkongsian yang saya berikan ini telah menyinggung perasaan saudara/i sama ada tersirat mahupun tersurat. Segala kebaikan itu datangnya daripada Allah SWT dan segala kekurangan itu datangnya daripada diri saya sendiri. Semoga kita bertemu kembali untuk perkongsia ilmu yang seterusnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan